Pabila hantu kekusutan mula menghantui diri, ku nyalakan
segulung rokok. Asap berkepul memenuhi ruang semesta minda disedut ke dalam cuba
tuk mengaburi masalah. Sudah berputung habis dibakar namun fikiran masih tidak
ketemu jalan keluar. Mahu berlari tapi takut tersadung, mahu menyuruk tapi tiada
dinding untuk ku bersembunyi, mahu berhadapan tapi takut diludah ke muka. Mungkin
aku perlu mencari teman tuk memberi sokongan. Lalu ku toleh ke belakang tetapi
yang ku lihat hanyalah sekumpulan badut yang sedang seronok mentertawakan aku sambil
berlalu pergi. Satu tumbukan padu bersama jeritan tuju ke arah cermin
bebayangku yang bersenyum sinis sambil berkata “padan muka” berulang kali ke
mukaku. Dan ku tersedar ia hanyalah
cerminan diri yang sentiasa ku nafikan, ku tipu dan ku bohongi. Darah mula
menetes ke bumi, kesakitan sudah terasa. Air mata seorang pejuang kehidupan
membasahi tanah tandus yang selama ini tak pernah subur kerna inilah kali
pertama aku tak dapat menahan kesakitan. Bukan sahaja pada luka ditangan tapi pada
fikiran dan hati. Tumbangnya seorang jantan atas kerna kebodohannya sendiri
tewas pada permainan duniawinya memikirkan dia mampu untuk mengalahkan syaitan dirinya
sendiri. Tubuh berada diatas perbaringannya dan muka dihadap ke arah langit
hitam. “mengapa tiada bulan atau bintang? Mengapa orang lain punyai berjuta
bintang sedangkan aku tiada punya apa-apa”. Maka timbullah satu persoalan dan
masalah baru yang sepertinya bagai tiada penyudahnya. Lalu ku pejam mata kecil
ini sambil tersenyum kecil. “Tak apalah, asalkan mentari masih muncul memberikan
ku cahaya kekuatan tuk teruskan hidup yang sementara ini.”