Dongengan seorang gila

Pabila hantu kekusutan mula menghantui diri, ku nyalakan segulung rokok. Asap berkepul memenuhi ruang semesta minda disedut ke dalam cuba tuk mengaburi masalah. Sudah berputung habis dibakar namun fikiran masih tidak ketemu jalan keluar. Mahu berlari tapi takut tersadung, mahu menyuruk tapi tiada dinding untuk ku bersembunyi, mahu berhadapan tapi takut diludah ke muka. Mungkin aku perlu mencari teman tuk memberi sokongan. Lalu ku toleh ke belakang tetapi yang ku lihat hanyalah sekumpulan badut yang sedang seronok mentertawakan aku sambil berlalu pergi. Satu tumbukan padu bersama jeritan tuju ke arah cermin bebayangku yang bersenyum sinis sambil berkata “padan muka” berulang kali ke mukaku.  Dan ku tersedar ia hanyalah cerminan diri yang sentiasa ku nafikan, ku tipu dan ku bohongi. Darah mula menetes ke bumi, kesakitan sudah terasa. Air mata seorang pejuang kehidupan membasahi tanah tandus yang selama ini tak pernah subur kerna inilah kali pertama aku tak dapat menahan kesakitan. Bukan sahaja pada luka ditangan tapi pada fikiran dan hati. Tumbangnya seorang jantan atas kerna kebodohannya sendiri tewas pada permainan duniawinya memikirkan dia mampu untuk mengalahkan syaitan dirinya sendiri. Tubuh berada diatas perbaringannya dan muka dihadap ke arah langit hitam. “mengapa tiada bulan atau bintang? Mengapa orang lain punyai berjuta bintang sedangkan aku tiada punya apa-apa”. Maka timbullah satu persoalan dan masalah baru yang sepertinya bagai tiada penyudahnya. Lalu ku pejam mata kecil ini sambil tersenyum kecil. “Tak apalah, asalkan mentari masih muncul memberikan ku cahaya kekuatan tuk teruskan hidup yang sementara ini.”